KLANG – Tindakan pantas seorang pengurus rantaian restoran makanan segera memindahkan empat mangsa termasuk tiga kanak-kanak berjaya menyelamatkan mereka dalam banjir kilat di Jalan Mohd. Yamin di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.36 petang itu, kesemua yang diselamatkan terdiri seorang wanita warga emas, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia 2 hingga 68 tahun.
Menceritakan detik kejadian, Zurina Mohsin, 36, berkata, banjir kilat itu berlaku dalam gelombang kedua hujan lebat kira-kira pukul 4.30 petang.
Katanya, menambah buruk adalah apabila kemasukan air pasang di kawasan berkenaan dari muara laut yang terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan perumahan tersebut.
“Air naik begitu cepat tidak sampai lima minit sudah mencecah paras pinggang sebelum saya keluar dari rumah dan melihat ada seorang wanita warga emas tinggal berseorangan di rumah.
“Bimbang keselamatannya, saya memimpin dan membawanya ke sebuah rumah kampung yang agak tinggi pada jarak 10 meter dari rumahnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah di sini, hari ini.
Kata Zurina, dia kemudiannya memindahkan tiga lagi beradik dengan cara mendukung dan mengendong yang ketika kejadian berada di atas katil rumah mereka selepas melihat ibunya panik terhadap insiden banjir tersebut.
Ujarnya, dia termasuk kesemua yang diselamatkan itu kemudiannya menunggu bantuan daripada bomba di rumah kampung yang agak tinggi itu.
“Hujan sebenarnya mula melanda dalam pukul 3 petang sebelum surut sejam kemudian, namun setengah jam kemudian hujan lagi sehingga air mencecah paras dada. Ini insiden terburuk dalam tempoh tiga tahun, sebelum ini banjir hanya paras lutut,” katanya.-K!ONLINE