fbpx

Penerima Sinovac boleh ambil dos penggalak mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin jenis Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan yang lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kumpulan penerima dos vaksin itu akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnaty daripada Pfizer-BioNTech secara heterologi.

“Sebagai permulaan, pemberian dos penggalak itu akan diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunization daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Oktober lalu.

“Pemberian dos penggalak secara heterologi ini secara penggunaan ‘off-label’ dan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccination (RECoVaM) serta kajian kesan advers serius, selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak.

“Pemberian dos penggalak ini dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan memastikan tempoh perlindungan optimum dapat diperolehi penerima vaksin Covid-19 di negara ini,” katanya ketika sidang media khas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pemberian dos penggalak bagi individu yang layak tersebut akan dimulakan secara berfasa di seluruh negara esok.

“Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas di nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah janji temu pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak lama lagi mungkin akan ada ciri untuk membuat janji temu melalui sistem yang sedang dibangunkan KKM,” ujarnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI