PETALING JAYA – Khabar angin yang ‘bertiup’ sejak minggu lalu yang mengatakan bahawa pelakon Fizo Omar bakal menamatkan zaman dudanya pada hari ini (21 Oktober 2021) semakin jelas apabila pelakon itu dilihat memuat naik foto lengkap berbusana baju Melayu rona putih.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Fizo atau nama lengkapnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, dalam Instagram sekitar satu jam lalu, kelihatan pelakon itu turut bersama anaknya, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
“Ok Abe Joe (panggilannya) keluar group ‘terpakai’ dulu,” tulisnya sambil memetik tiga nama kenalan artis iaitu Nazim Othman, Sharnaaz Ahmad dan Azlee Khairi.
Meninjau dalam ruangan komen, pelakon drama Pengantin Satu Malam itu turut mendapat ucapan tahniah daripada rakan selebriti.
“Untunglah dah ada ‘pembeli’. Aku masih duduk dekat ‘show room’ lagi,” komen Nazim Othman.
Berdasarkan komen yang turut ditinggalkan peminatnya dalam Instagram, terdapat cakap-cakap memberitahu bahawa Fizo akan menikahi wanita berasal dari Sarawak.
“Dengar-dengar dengan gadis Sarawak,” komen seorang pengikutnya.
“Dengan gadis dari Sarawak,” ujar seorang lagi pengguna Instagram.
Bagaimanapun, kesahihan tentang pernikahan Fizo pada malam ini masih belum dipastikan.
Terdahulu Fizo telah mendirikan rumah tangga dengan Mawar Karim pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam.
Bagaimanapun pasangan itu telah bercerai pada Julai 2019. – K! ONLINE