KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan akan menggunakan dron untuk menjalankan pemantauan kegiatan pembalakan haram di negeri ini sepanjang musim tengkujuh.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemantauan dan penguatkuasaan itu dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) sehingga hujung tahun ini.
“Segala kerja-kerja mengeluarkan hasil kayu yang diluluskan oleh kerajaan telah dihentikan apabila memasuki bulan Oktober yang merupakan permulaan musim tengkujuh.
“Oleh itu, JPNK akan menggunakan dron untuk terus memantau dan membuat pemeriksaan pembalakan haram yang dilakukan sehingga hujung tahun,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim di sini hari ini.
Terdahulu, kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak dua buah mesin bantuan alat pernafasan bernilai RM 130,000 kepada Penyelaras Strategi Perjalanan Hospital Universiti Sains Malaysia, (Unit Pembangunan Korporat), Dr. Mohamad Ibariyah Iberahim.
Sumbangan itu untuk membantu pesakit Covid-19 pada tahap tiga dan empat yang memerlukan bantuan pernafasan ketika menjalani rawatan di wad hospital. -K! ONLINE.