MERSING – Seorang jurutera maut selepas kereta Nissan Almera dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar sebuah lori di Kilometer 25 Jalan Kota Tinggi – Mersing semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Muhamad Faisal Ali, 32, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Terengganu ke Pasir Gudang.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati sebuah kereta Nissan Almera dipandu mangsa dari Terengganu hendak menuju ke Johor Bahru.
“Ketika tiba di lokasi kejadian kereta yang dipandu dipercayai hilang kawalan terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori jenis Daihatsu.
“Akibat daripada kemalangan tersebut menyebabkan pemandu kereta tersepit di dalam kereta dan pihak bomba telah berjaya mengeluarkan pemandu tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Mersing.
Katanya, mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk urusan bedah siasat.
“Kes tersebut diklasifikasi bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi.-K! ONLINE