PETALING JAYA – Kemasukan pesakit ke hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya telah mula menunjukkan trend meningkat selepas kebenaran merentas negeri dibenarkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi sama dilihat berlaku bagi negeri di Sarawak terutamanya kategori 3, 4 dan 5 selepas kebenaran rentas daerah dan negeri diberikan.
“Begitu juga trend pesakit bagi kategori 3, 4 dan 5 di Zon Selatan dimana Negeri Sembilan mula menunjukkan peningkatan. Kes peningkatan pesakit Covid-19 ke hospital ini amat membimbangkan.
“Ia satu perkara di dalam perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus melakukan pemantauan dengan lebih teliti lagi sebelum tindakan selanjutkan akan dilakukan,” katanya ketika sidang media khas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, antara tindakan selanjutnya yang akan dilakukan KKM ialah dengan memperluaskan pemberian suntikan dos penggalak kepada individu-individu yang layak.
“KKM akan memperluaskan pemberian dos penggalak kepada individu yang layak bagi memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai. Pelaksanaan dos penggalak ini telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Oktober lalu,” ujarnya.- K! ONLINE.