KLUANG – Polis sedang menyiasat kejadian senaskhah al-Quran yang ditemui dengan kesan dibakar di tasik Taman Sri Impian di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, susulan itu pihaknya menasihatkan orang ramai untuk tidak mensensasikan atau membuat sebarang spekulasi agar tidak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Polis menerima laporan daripada seorang wanita yang menjumpai senaskah al-Quran yang dibakar dan hanya tinggal cebisan ayat sahaja ketika sedang bersenam di tasik berkenaan, pada pukul 8.48 pagi semalam.
“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan kes ini dari pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hang Seng berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian 07-7784 222.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab membakar kitab suci al-Quran dipercayai dilakukan ketika upacara keagamaan dalam kejadian di kawasan rekreasi Tasik Taman Sri Impian di sini.-K! ONLINE