fbpx

Hutan simpan, tanah milik kerajaan diceroboh tanam musang king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah jengkaut yang diguna bagi membersihkan kawasan Hutan Simpan Lentang Tambahan di Bentong disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

BENTONG – Tindakan menceroboh hutan simpan bagi menanam durian musang king terus berlaku apabila kira-kira 1.5 hektar Hutan Simpan Lentang Tambahan di sini dibersihkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, serbuan yang dilakukan pihaknya kelmarin mendapati kawasan hutan simpan seluas 1.5 hektar telah dibersihkan selain kira-kira 30 hektar hutan tanah milik kerajaan dipercayai untuk penanaman durian musang king.

“Ketika serbuan dilakukan kerja membersihkan kawasan hutan simpan berkenaan sedang dilakukan, bagaimanapun usaha menahan pemandu jengkaut terbabit gagal apabila dia sempat melarikan diri.

“Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Lentang Tambahan termasuk tanah milik kerajaan didalangi beberapa individu yang mana mereka bertindak mengupah pihak kedua untuk melakukan kerja membersihkan dan membina teres tanaman,”katanya di sini, hari ini.

Menurut Nor Azirim, jengkaut yang ditemukan di kawasan hutan simpan berkenaan disita dan dibawa ke pusat simpanan barangan rampasan di Pejabat Ladang Hutan Kemasul di Mentakab.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan termasuklah menggunakan dron dalam membanteras kegiatan menceroboh hutan simpan di seluruh negeri.

Katanya kejayaan mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Bentong menggunakan dron itu dapat mengelakkan kemusnahan lebih banyak hutan simpan dan tanah milik kerajaan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti menceroboh hutan simpan di negeri ini kerana perbuatan berkenaan merupakan kesalahan besar yang menyebabkan kemusnahan hutan secara tidak terkawal.

“Sepanjang bulan ini unit penguatkuasa JPNP Pahang Timur dan Barat berjaya menyelesaikan lima kes membabitkan kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti perlombongan, memindahkan hasil hutan dan pertanian,”ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI