Setelah beberapa ketika menyepi tanpa kontroversi, ‘geng basikal’ kembali lagi dengan isu sama yang membangkitkan kemarahan banyak pihak terutamanya pengguna jalan raya yang terpaksa ‘menghadap’ karenah mereka.
Minggu lalu media melaporkan sekumpulan penunggang basikal dengan berani mengayuh basikal bersebelahan sebuah lori di lebuh raya yang sesak dengan kenderaan sehingga menimbulkan kegerunan pengguna jalan raya.
Minggu ini pula tular video memaparkan sepasang suami isteri menunggang basikal dengan membawa anak mereka di jalan raya yang juga dipenuhi kenderaan.
Sudah banyak kali media melaporkan tentang kemalangan yang mengorbankan nyawa penunggang basikal, namun berita-berita sebegitu seumpama tidak memberi kesan atau diambil sebagai iktibar oleh ‘geng basikal’ ini.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Madya Dr. Law Teik Hua berkata, perkara sebegini bukanlah satu isu baharu, namun sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian yang berkesan dalam menanganinya.
“Bukan semua penunggang basikal mengabaikan keselamatan di jalan raya, namun tidak dinafikan segelintir daripada mereka percaya bahawa kecelakaan tidak akan menimpa mereka setelah dikaburi dengan keseronokan melakukan sesuatu yang berisiko tinggi.
“Mereka sedar perbuatan itu berbahaya tapi mungkin mereka berfikiran positif ia tidak akan berlaku kepada mereka. Bagus untuk bersikap positif tapi mengapa hanya sekadar positif jika ia boleh dicegah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah beliau, masyarakat perlu memainkan peranan dalam mengekang masalah itu dan bukan hanya sekadar merakam dan menularkannya di laman media sosial.
“Seringkali kita lihat pengguna jalan raya merakam perbuatan berbahaya golongan penunggang basikal ini di media sosial, apa kata selepas ini kita terus laporkan pada pihak berkuasa atau pengendali lebuh raya agar tindakan segera dapat diambil.
“Bekerjasamalah dengan pihak berkuasa dan pihak berkuasa juga perlu bertegas kerana ia melibatkan nyawa. Buat kajian tentang tindakan yang sepatutnya diambil dan perbanyakkan kempen kesedaran bagi memberi peringatan kepada penunggang basikal ini,” katanya,
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata, aktiviti berbasikal sudah menjadi trend yang diikuti ramai, namun yang membimbangkan adalah apabila mereka merasakan bahawa jalan raya selamat juga sesuai untuk aktiviti itu.
“Perbuatan menunggang basikal di lebuh raya terutamanya adalah sangat berbahaya selain salah di sisi undang-undang sekiranya tidak memperoleh kebenaran daripada pihak polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
“Mereka (penunggang basikal) yang melanggar undang-undang di jalan raya juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.
Menurut beliau, rekod menunjukkan bahawa sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal telah dilaporkan sejak Januari hingga September tahun ini yang melibatkan 71 kematian, 24 kecederaan parah dan 55 lagi kecederaan ringan.
“Patuhi peraturan jalan raya dan undang-undang demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain,” tegas beliau.
Tidak salah untuk beriadah, namun pastikanlah apa-apa tindakan yang kita lakukan itu tidak merisikokan diri sendiri dan orang lain. Jadikan kes-kes terdahulu yang pernah dilaporkan media sebagai iktibar agar tidak terjadi kepada kita.
Pilihlah lokasi yang bersesuaian dan pertimbangkan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara itu sebelum kita melakukannya kerana kita bebas untuk membuat pilihan.