JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang mengesan dua individu lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pemalsuan dokumen tukaran wang asing yang didakwa menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua lelaki warganegara tempatan itu mendakwa mereka pernah berkhidmat di Istana Johor.
Katanya, kedua-dua yang dicari adalah pasangan anak beranak dan dipercayai masih berada dalam negara.
“Berhubung kes penipuan membabitkan nama Tunku Mahkota Johor, kita sudah ambil keterangan daripada tiga suspek manakala dua individu lagi masih dicari.
Berita berkaitan: 3 individu guna nama TMJ tukar mata wang AS$5 trilion
“Mereka yang dicari ini adalah M. Paramesvaran, 64, dan anak lelakinya, P. Kuganathan, 34. Alamat terakhir mereka adalah Nombor 16, Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin, Ipoh, Perak,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan dua beranak tersebut boleh menghubungi Asisten Superintendan Khairul Saberi Nyan di talian 019-5290024 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran.-K! ONLINE