BATU PAHAT- Sebuah keluarga dari Kampung Tanjung Laboh, di sini memohon orang ramai untuk mengesan anak gadis mereka yang dipercayai menghilangkan diri, sejak kelmarin.
Abang mangsa, Md. Azizul Zainal, 36, berkata, kehilangan adik bongsunya, Norfarahin, 21, tahun itu menimbulkan tanda tanya berikutan gadis berkenaan tidak mempunyai kenalan rapat sama ada lelaki atau wanita di kawasan sekitar.
Katanya, dalam kejadian Selasa lalu, kehilangan Norfarahin disedari oleh ibu bapa mereka, Zainal Ahmad, 66, dan Fatimah Jamak, 50an ketika ingin melakukan solat sunat berjemaah pada pukul 3.30 pagi.
“Sudah menjadi rutin untuk kami melakukan solat sunat berjemaah pada awal pagi. Namun pada hari kejadian ketika ibu dan ayah ingin memanggil adik bersama, didapati Norfarahin telah tiada di biliknya.
“Kami kemudian memeriksa almari pakaian dan melihat beberapa helai pakaiannya telah dibawa bersama. Kami hubungi rakan-rakannya namun tiada siapa mengetahui ke mana adik telah pergi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Md. Azizul, beberapa hari sebelum kejadian, adiknya itu ada memaklumkan hasrat untuk bekerja di Kuala Lumpur dan keluarga mengizinkan.
“Saya telah membuat laporan polis berkaitan kehilangan Norfarahin dan memohon jika orang ramai menemuinya, boleh maklumkan kepada pihak keluarga dengan menghubungi talian 019-4478962,” katanya.-K! ONLINE