fbpx

Amerika umum bantuan tambahan RM3.3 juta kepada Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster sumbangan Amerika Syarikat kepada PBSM.

PETALING JAYA – Amerika Syarikat mengumumkan bakal memberi bantuan tambahan sebanyak AS$800,000(RM3.3 juta) kepada Malaysia pada bulan ini bagi menyokong usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.

Bantuan yang disalurkan ini juga akan menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan program vaksinasi kepada komuniti yang sukar dijangkau selain menyokong kemudahan kuarantin yang selamat demi memastikan pemulihan ekonomi dapat berjalan lancar.

Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dalam satu kenyataan berkata, dana tersebut akan diuruskan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

“Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D. McFeeters.

“Malaysia telah melakukan kerja yang luar biasa dalam memberi vaksin kepada rakyatnya dan bantuan tambahan ini akan meningkatkan usaha untuk membantu masyarakat yang rentan selain membantu menjaga keselamatan seluruh negara,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah berkata, dana tambahan tersebut penting dalam usaha memberi pelindungan kepada rakyat Malaysia.

“Dalam usaha keras kita untuk mengekang wabak Covid-19 secara menyeluruh, dana tambahan ini sangat penting bagi kerja kita untuk membantu melindungi orang ramai daripada penyakit ini terutamanya golongan rentan.

“Kita berusaha mencapai peringkat terakhir dalam vaksinasi di seluruh negara dan kita perlu ingat bahawa tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat. Virus ini tidak membezakan antara bangsa, agama, etnik atau kewarganegaraan,” katanya yang mengucapkan penghargaan kepada Duta Besar AS, Brian D. McFeeters.

Tambah kenyataan tersebut, dana tambahan daripada Amerika Syarikat itu menjadikan keseluruhan bantuan sebanyak AS$2 juta(RM8.3 juta) kepada Malaysia sejak pandemik Covid-19 bermula.

Pada 5 Julai lalu, Amerika turut menyumbang 1 juta vaksin jenis Pfizer ke Malaysia selain bekalan perubatan, alat ujian Covid-19 serta ambulans manakala komuniti perniagaan Amerika melalui MY AMCHAM Cares juga telah menyumbang lebih RM7 juta.

Usaha tersebut dilaksanakan bagi kerja-kerja menyelamatkan nyawa sejak beberapa dekad dan kepimpinan Amerika dalam menangani krisis kesihatan global. Amerika juga komited untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengakhiri wabak Covid-19 dan mengurangkan impak sosial dan ekonomi.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI