fbpx

Abang Bunga pilih menjaga ‘syurga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Murtadza menjaga ibunya yang terlantar akibat strok ketika ditemui di Kampung Baru Sungai Kepong, Gemencheh semalam.

TAMPIN – Seorang lelaki memilih ‘syurga’ berbanding ‘dunia’ apabila nekad berhenti kerja semata-mata mahu menjaga ibunya yang terlantar sakit strok di Kampung Baru Sungai Kepong, Gemencheh sejak tiga tahun lalu.

Mohd. Murtadza Mohd. Rashid, 33, berkata, dia berhenti sebagai tenaga pengajar Institut Perhotelan dan Pelancongan Negeri Sembilan selepas kakak­nya, Nurzaiakma, 35, mengambil langkah sama bagi menjaga ibu mereka, Noorazain Jabriel@Zai­nal, 58, yang diserang strok lima tahun lalu.

Katanya, keadaan ibunya semakin merosot apabila anggota badan wanita itu terutama kaki sukar digerakkan dan hanya terba­ring.

“Melihatkan keadaan itu, kami enam beradik berbincang dan sepakat untuk memberikan tanggungjawab menjaga ibu kepada anak lelaki. Jadi saya nekad berhenti kerja bagi menguruskan ibu kerana saya tinggal di Seremban.

“Sepanjang tiga tahun, tentulah banyak cabaran lebih-lebih lagi ibu gemar bercakap benda yang sama, namun saya cekalkan hati bagi menjaganya,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, ibunya kini bergantung sepenuhnya kepada bantuannya untuk menguruskan diri termasuk makan minum serta membersihkan diri.

Menurut Mohd. Murtadza, ibunya mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 dan pencen ilat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial sebanyak RM417 sebulan.

“Duit itulah digunakan untuk membeli susu, ubat-ubatan dan lampin pakai buang ibu. Alhamdulilah, semuanya dipermudahkan. Saya hanya perlu memasak bubur pada setiap hari, menyuap ibu makan dan juga memberi ibu susu setiap tiga jam sekali,” katanya.

Ujar Mohd. Murtadza lagi, bukan mudah untuk mengawal emosi semasa menjaga ibu lebih-lebih lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan apabila adik-beradiknya yang menetap di luar negeri tidak dapat pulang menjenguk ibunya.

“Pada masa sama saya cuba mencari pendapatan melalui jualan dalam talian saya menggunakan platform Facebook Abang Bunga,” katanya.

Menurutnya, dia juga ada membuat jualan rendang pucuk ubi pada harga serendah RM12 mengikut permintaan dan menjualnya secara dalam talian bagi menjana pendapatan sendiri serta menambah keperluan buat ibunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI