fbpx

2 pegawai SPRM didakwa kelentong penguat kuasa serah RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Amir Izham Shahak (dua dari kiri) bersama Wan Kamarul Za'im Wan Mansor (kiri) melarikan diri dari jurugambar setelah didakwa atas tuduhan menipu untuk terima wang di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 bagi menyelesaikan kes yang disiasat agensi tersebut, minggu lalu.

Tertuduh, Penolong Penguasa P29 di SPRM Cawangan Kluang, Amir Izham Shahak, 32, mengaku bersalah manakala Penguasa P42 SPRM Johor Bahru, Wan Kamarul Za’im Wan Mansor, 34, mengaku tidak bersalah.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa menipu dengan memperdayakan secara curang untuk mendorong seorang penguat kuasa berusia 35 tahun menghantar wang tunai RM40,000 kepada mereka kononnya mereka boleh membantu untuk menyelesaikan kes yang disiasat oleh SPRM Johor ke atas lelaki terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan dekat Jalan Benut, Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, pada 7.57 malam, 14 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd. Salleh Togimin dan Wan Kamarul Za’im pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Hakim kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsanya turut diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 24 November depan sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI