SUNGAI PETANI – Seramai 162 mangsa daripada 39 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan rumah mereka dilanda banjir mulai malam semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Bukit Belah, Surau Taman Kenari dan Masjid Al-Huda di Kampung Jerung.
“PPS Dewan Kampung Bukit Belah dibuka pada pukul 11.32 malam semalam manakala PPS Masjid Al-Huda dan PPS Surau Taman Kenari masing-masing dibuka pada pukul 12.30 tengah malam dan 1.30 pagi ini,” katanya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya tujuh kampung dalam Mukim Pekula, Pinang Tunggal, Sidam Kiri dan Sungai Petani dilanda banjir akibat hujan lebat berpanjangan lebih tiga jam pada petang semalam.
“Antara kampung terlibat ialah Kampung Kepala Bukit, Tikam Batu dan Kampung Masjid di Mukim Pekula manakala Kampung Jerung di Mukim Sidam Kiri.
“Bagi Mukim Sungai Petani pula, kampung terlibat ialah Kampung Bakar Kapur, Kampung Gelugur, Pengkalan Lebai Man dan Kampung Bukit,” tambahnya. – K! ONLINE