KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia menepati ramalan mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas menewaskan Wang Tzu-wei di Odense Sports Park sebentar tadi.
Bagaimanapun, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, tidak mendapat laluan mudah apabila terpaksa berhempas pulas dalam tiga set yang berlangsung selama 50 minit untuk menewaskan Tzu-wei 12-21, 21-9, 21-18.
Kemenangan tersebut tentunya meredakan tekanan dihadapi pemain berusia 23 tahun dari Alor Setar, Kedah itu gara-gara prestasinya sewaktu saingan Piala Thomas yang berakhir baru-baru ini.
Turut mengikut jejak langkah Zii Jia ke pusingan kedua ialah beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menang straight-set ke atas pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties van der Lecq 21-17, 21-9.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dijadualkan berdepan Akira Koga-Taichi Sato dari Jepun di pusingan kedua esok.
Bagaimanapun, nasib berbeza dihadapi satu lagi beregu lelaki negara iaitu Goh V Shem-Low Juan Shen apabila tewas 14-21, 18-21 kepada pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin.
Malang turut menimpa beregu campuran sensasi negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kerana gagal menepati status selaku pilihan ketujuh apabila tersingkir seawal pusingan pertama.
Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu tewas 17-21, 19-21 kepada pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung.
Satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei turut kecundang di pusingan pertama kepada pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai. – K! ONLINE