PETALING JAYA – Sebuah rakaman video memaparkan seorang warga emas yang didapati menjadikan sebuah stesen minyak tinggal sebagai tempat berteduh menimbulkan rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi video berdurasi 15 saat yang dikongsi Instagram kakiviralmedia, difahamkan warga emas tersebut bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal di bangunan terbiar itu seorang diri.
“Sebaknya hati kesian tengok pakcik ni tinggal di bangunan terbiar. Semoga ada yang sudi bantu pakcik ini dapatkan tempat tinggal yang lebih baik.
“Walaupun serba kekurangan, tapi pakcik tidak lupa Sang Pencipta dan pembersih orangnya. Moga pakcik sihat-sihat dan dipermudahkan urusan,” katanya.
Menurut hantaran itu juga, bangunan terbiar itu terletak di Petagas, Putatan, Kota Kinabalu Sabah.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, orang ramai melahirkan rasa simpati dan berharap agar ada pihak yang dapat membantu memberikan tempat tinggal kepada warga emas itu.
“Walaupun tempat tinggalnya di dalam bangunan tinggal, pak cik ini masih menjaga kebersihan. Harap ada pihak dapat bantu,” kata Anis.
“Allah, kemasnya pakcik ini..elok je barang tersusun tak bersepah. Bila solat kita jaga, Insha-Allah semua perkara kita jaga termasuk kebersihan,” kata Hafiz.
“Semoga Allah SWT luaskan rezeki pak cik ini,” kata Hakizah.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 16,000 kali. – K! ONLINE