TELUK INTAN – Seorang wanita dilaporkan hilang selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang di sini semalam.
Ia berikutan penemuan kereta wanita terbabit berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada suami wanita tersebut yang mengesyaki isterinya telah terjun ke dalam Sungai Perak.
“Menurut suami wanita berusia 49 tahun itu, kehilangan isterinya disedari pada pukul 9 pagi setelah dia tiada di rumah.
“Lelaki itu cuba menghubungi isterinya, namun panggilan tidak dijawab sebelum menjumpai kereta yang ditinggalkan di tepi Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, suami wanita itu membuka kereta menggunakan kunci pendua dan menjumpai kad pengenalan beserta dompet milik isterinya.
Katanya, lelaki berusia 55 tahun yang mengesyaki isterinya telah terjun ke dalam Sungai Perak membuat laporan polis untuk bantuan.
“Kita diberitahu oleh suami wanita itu yang isterinya mengalami kemurungan dan enggan bercakap sejak seminggu lalu.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula pukul 8 pagi tadi melibatkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sehingga petang tadi gerakan mencari dan mengesan mangsa masih diteruskan,” katanya. – K! ONLINE