fbpx

Tinggal 23 kg dadah atas togok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Hizam (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan rampasan dadah jenis syabu, eramin 5 serta ekstasi pada sidang akhbar di Batu Pahat, Johor hari ini. - FOTO: NUR ALINA HASSAN

BATU PAHAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan satu sindiket penyeludupan dadah apabila merampas 23 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah di perairan Muar semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksmana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, rampasan itu dibuat pada pukul 5.30 pagi susulan pihaknya melakukan rondaan di kawasan perairan Parit Jawa dekat sini.

Menurutnya, jenayah itu disyaki didalangi sindiket dadah antarabangsa dengan menggunakan modus operandi meletakkan bungkusan dadah di atas longgokkan tiang kayu perangkap ikan sebelum diambil pengedar dari negara jiran.

“Semasa rondaan rutin dijalankan, pihak APMM mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam diletakkan di atas kayu perangkap ikan atau togok.

“Objek berkenaan ditemui pada jarak kira-kira 3 batu nautika barat daya Parit Jawa dan 12 batu nautika dari sempadan perairan negara.

“Hasil pemeriksaan menemui 23 bungkusan teh cina berwarna hijau dipercayai syabu, pil ekstasi dan pil eramin 5 dan jumlah keseluruhan rampasan itu bernilai RM1.33 juta,”katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, tinjauan di kawasan sekitar, pihak APMM tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain.

“Kami percaya, dadah berkenaan sengaja ditinggalkan di atas togok sebelum diambil oleh pihak seterusnya bagi tujuan penghantaran ke destinasi.

“Taktik ini agak baharu digunakan kerana ini kali kedua kami menemui dadah dengan cara sedemikian. Justeru, kita akan terus meningkatkan kawalan sempadan dan keselamatan di perairan termasuklah rondaan kerap di lokasi-lokasi yang dirasakan menjadi sasaran sindiket,” katanya.

Nurul Hizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM7.9 juta nilai keseluruhan dadah berjaya dirampas APMM bagi tahun ini membabitkan dua lokasi di Johor Bahru dan lima lagi di daerah ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI