PETALING JAYA – Hujan lebat secara berterusan sejak tengah hari tadi menyebabkan berlaku kejadian tanah mendap di Jalan Dutamas di sini sebentar tadi.
Difahamkan, anggota polis trafik telah membuat kawalan di lokasi bagi memastikan tiada kesesakan berlaku dan laluan kontra telah dibuka di laluan bertentangan.
Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh ketika dihubungi Kosmo!, mengesahkan kejadian tersebut.
“Kejadian disahkan berlaku dan anggota trafik telah ditugaskan untuk mengawal lalu lintas.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak. Pengguna jalan raya di laluan tersebut dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi arahan anggota bertugas,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, orang ramai dinasihatkan terus berwaspada susulan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melibatkan 12 buah negeri petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Keadaan cuaca tersebut diramal akan berlaku sehingga 7 malam ini. – K! ONLINE.