PETALING JAYA – Arus perubahan yang semakin deras memerlukan rakyat Malaysia mempersiapkan diri dan keluarga untuk berdepan cabaran hari esok yang tidak dapat diduga.
Sebagai ibu bapa, mungkin pernah terlintas dalam kotak pemikiran bagaimana agaknya hendak melengkapkan anak-anak untuk pekerjaan masa hadapan yang semestinya lebih mencabar.
Selain mempersiapkan si manja dengan akhlak yang mulia, nilai murni dengan ilmu pengetahuan asas yang mencukupi untuk membantu mereka berdepan dengan cabaran mendatang, si cilik juga perlu dibekalkan dengan sedikit simpanan bagi tujuan pendidikan.
Perkara ini amat dititikberatkan oleh pasangan pelakon, Yana Samsudin dan Fadzil Zahari yang telah merangka pelbagai perancangan untuk sepasang anak mereka.
Tambahan pula pasangan ini masing-masing bermula daripada keluarga yang susah dan tidak pernah mendapat kemudahan sedemikian sebelum ini.
“Untuk anak sulung kami, Aisy Mateen Fadzil Zahari yang berusia lima tahun, kami telah membuka akaun simpanannya sendiri, antaranya dengan membuka akaun Simpan SSPN Plus yang menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat takaful yang menarik.
“Semua ini kami buat sejak Aisy berusia enam bulan, kecuali insurans yang memang kami ambil sejak dia dalam perut lagi.
“Kalau diikutkan pelan asal, Aura Aisy Sofea yang kini sudah mencecah usia 10 bulan juga akan dapat perkara serupa dengan abangnya.
“Disebabkan pandemik, buat masa ini kami hanya sempat membuka akaun ASB buat Aura, namun kami pasti akan wujudkan akaun yang sama bila berkesempatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Lepasan Ijazah Sarjana Muda Seni Layar, Universiti Teknologi Mara ini berkata, untuk simpanan anak-anaknya, beliau memilih instrumen pelaburan yang bersifat selamat dan berisiko rendah, namun pada masa sama masih mampu mendatangkan pulangan yang baik. “
“Ada juga sesetengah produk seperti SSPN-i Plus (kini dikenali dengan Simpan SSPN Plus yang turut menyediakan kemudahan lain, misalnya perlindungan takaful.
“Dahulu penyediaan produk sebegini amat kurang di pasaran, jadi amat rugi sekiranya kita tidak memanfaatkannya sebaik mungkin,” jelasnya.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadikan Oktober setiap tahun sebagai Bulan Menabung Simpan SSPN atau BMS bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan anak-anak.
Mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero anak anda, BMS 2021 mengajak ibu bapa menjadi hero untuk anak-anak dalam konteks perancangan kewangan melalui tabungan agar mereka berjaya melanjutkan pengajian tanpa masalah kewangan.
Pelbagai program dan aktiviti yang masih dan akan berlangsung menerusi media sosial rasmi PTPTN seperti, Forum Cakna Kewangan, Siri P&T, Detik Indah Bersama Si Manja dan My Parents, My Real Superheroes.
Turut dianjurkan ialah program berbentuk pertandingan seperti Peraduan Like, Share & Win BMS 2021, Simpan SSPN Got Talent, Snap & Win Simpan SSPN, Happy Hour, Quizizz dan Cabaran #SuperheroSiManja. Info lanjut di www.lovesspn.com.