PETALING JAYA – Terpalit dengan kontroversi gurauan isu adegan rogol aktres Raja Farah, aktor Khir Rahman tampil memohon maaf sekiranya keterlibatannya dalam perbualan tersebut menjejaskan imej mana-mana pihak.
Permohonan maaf tersebut dilakukan selepas sebuah potongan video temu bual dalam sebuah program televisyen yang membabitkannya sebagai pengacara bersama Shuk Sahar dan beberapa tetamu jemputan iaitu Datuk Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Zul Huzaimy.
Kata Khir dalam (rajutan) ciapan di Twitter, walaupun turut menerima kecaman hebat susulan isu tersebut, dia bukanlah individu yang akan lari daripada mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Beri peluang untuk saya meninjau isu ini dengan teliti dan andai perlu saya akan beri kenyataan.
“Percayalah saya ini bukan jenis ‘lari’,” kata pemilik nama penuh Khairulizam Abdul Rahman itu.
Jelasnya lagi, dia tertawa disebabkan gaya penceritaan tetamu jemputan bukannya terhadap isu yang diketengahkan.
“Melalui bahan yang sempat saya baca, pertamanya saya tidak mahu menyebut nama-nama yang terlibat, serba salah juga hendak buat sebarang kenyataan. Bak kata suami empunya badan (Raja Farah), hal fitnah ini tidak perlu dipanjangkan.
“Sebetulnya saya sedang mencari nombor telefon empunya badan, bahawa saya kesal dan ralat.
“Saya ketawa hanya pada gelagat bercerita tetapi bukan pada isunya. Saya tidak ketawa atau meraikan isu tersebut dan minta maaf atas kesilapan serta keterlanjuran ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, suami kepada penulis skrip terkenal, Siti Jasmina Ibrahim itu juga mempersoalkan mengapa temu bual tersebut diedit pada bahagian tertentu dan disebarkan kepada umum.
“Saya tidak pasti kenapa video ini dipotong begitu lalu disebarkan dan adakah kandungan tersebut telah disiarkan pada waktunya.
“Kalau benar telah bersiaran begitu, sesiapa pun yang terlibat mesti berasa kesal dan perlu memohon maaf,” katanya lagi.
Malam tadi, tular temu bual menerusi program Rumah 107 yang memaparkan Fauzi bersama dua tetamu undangan lain, Fizz Fairuz dan Zul Huzaimy berkongsi tentang watak jahat lakonan mereka.
Dalam video yang mengundang kecaman ramai tersebut, Fauzi berkongsi secara terperinci tentang babak rogol melibatkan Raja Farah dalam filem Anak Halal terbitan 2007.
Menyedari kesilapannya, Fauzi telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sebuah video yang dimuat naik sekitar pukul 1 pagi tadi. – K! ONLINE