TAIPING – Perintah reman ke atas seorang anggota tentera yang merupakan suspek utama kes bunuh seorang lelaki di Bukit Sumpitan dekat Selama Selasa lalu disambung tujuh hari lagi.
Tempoh tahanan reman sehingga Rabu ini dikeluarkan terhadap pegawai waran berusia 34 tahun itu setelah tempoh reman tujuh hari sejak Khamis lalu berakhir hari ini.
Majistret Nur Farah Syahidah Mohd. Noh mengeluarkan perintah tersebut di Mahkamah Majistret Taiping di sini hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang berpakaian lokap itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum meninggalkan mahkamah sejam kemudian.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, mayat mangsa berusia 42 tahun yang juga pesara tentera itu ditemui di kawasan semak kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan, Selama.
Susulan itu, tangkapan dilakukan terhadap lelaki berusia 31 tahun pada Selasa di Taiping manakala anggota tentera itu pula diberkas di Perlis pada Rabu lalu.
Tempoh reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu pula akan berakhir Jumaat ini. – K! ONLINE