MELAKA – Perikatan Nasional (PN) Melaka akan memuktamadkan rundingan kerusi bersama parti komponen pada minggu ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan hadapan.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, setakat ini 50 peratus daripada proses rundingan telah mencapai kesepakatan dan baki dijangka selesai pada minggu ini.
“Rundingan sedang berjalan antara pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.
“Kita yakin pada minggu ini kita dapat memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi oleh ketiga-tiga parti komponen di bawah PN, malah kini lebih kurang 50 peratus rundingan telah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan ziarah kasih di Kampung Tanah Merah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pihaknya juga telah menerima senarai calon daripada kesemua enam bahagian termasuk calon muda sebagai persiapan menghadapi Undi18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Bahagian telah menghantar senarai calon masing-masing dan saya juga telah menerima senarai daripada Srikandi serta Armada untuk dipertimbangkan.
“PN Melaka akan mengetengahkan calon-calon profesional yang mempunyai kredibiliti, karisma dan berpendidikan tinggi selaras dengan persiapan menghadapi Undi18 pada PRU-15 akan datang,” katanya.
Jelas beliau, hasil pemilihan calon berkenaan kemudian akan dibawa kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk diperhalusi.
Ditanya mengenai kecederungan kawasan untuk ditandinginya, Mohd. Rafiq memberitahu dia tidak meletakkan sebarang keinginan peribadi, sebaliknya akur dengan segala keputusan yang akan ditetapkan oleh parti. – K! ONLINE