PETALING JAYA – Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam pemalsuan identiti untuk pendaftaran talian telefon di sebuah rumah sekitar Kota Bharu, Kelantan semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, suspek berusia 32 tahun itu didapati mengubah suai butiran kad pengenalan miliknya dengan memasukkan maklumat pelanggan pascabayar yang telah berdaftar dengan sebuah syarikat telekomunikasi.
“Kad pengenalan tersebut kemudiannya digunakan untuk membuka akaun baru (prabayar) di syarikat telekomunikasi yang sama.
“Sebaik akaun baru dibuka, suspek akan mendaftarkan nombor tersebut ke dalam aplikasi yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, setelah pendaftaran berjaya, sistem akan beranggapan nombor baru tersebut adalah milik pelanggan sedia ada sebelum membenarkan transaksi pemindahan kredit.
“Sehingga kini, syarikat telekomunikasi berkaitan telah mengalami kerugian berjumlah RM3,882 akibat pemindahan kredit secara tidak sah.
“Selain penahanan suspek, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam keping sim kad dan beberapa peralatan komputer.
“Polis percaya dengan penahanan suspek, berjaya menyelesaikan lapan kes melibatkan modus operandi sama,” ujarnya.
Tambahnya, suspek sedang menjalani tahanan reman sehingga 23 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE