fbpx

Pelanggan, pengurus dikompaun RM415,000 kerana berhibur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pengunjung yang dikenakan kompaun kerana berhibur di sebuah premis hiburan sekitar Jalan Ampang.

PETALING JAYA – Seramai 73 pengunjung dan seorang pengurus pusat hiburan di sekitar Jalan Ampang dikenakan kompaun sebanyak RM415,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pagi tadi.

Serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu telah dilakukan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, polis turut melakukan penahanan membabitkan pekerja dan pengurus premis tersebut.

“Menerusi serbuan Op Noda tersebut, polis telah menahan enam wanita warga asing disyaki pelayan pelanggan (GRO) dan seorang lelaki yang bekerja sebagai pengurus premis.

“Seramai 73 orang pengunjung yang terdiri daripada 53 lelaki dan 20 wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 37 tahun turut dikenakan kompaun atas pelanggaran prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati, kesemua pengunjung mengunjungi pusat hiburan terbabit bagi menyambut ulang tahun kelahiran.

“73 pengunjung tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang manakala pengurus terbabit dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM415,000.

“Polis juga ingin memberi amaran keras agar tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang atau tindakan tegas akan diambil,” jelasnya.

Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI