LONDON – Pengkritik bola sepak Liga Perdana Inggeris, Gary Neville mengakui sangat kecewa menyaksikan cara barisan pemain bintang Manchester United beraksi tetapi mengakui bahawa beliau tidak akan mendesak pengurus, Ole Gunnar Solskjaer meletakkan jawatan.
United tewas 2-4 kepada Leicester City Sabtu lalu menyebabkan timbul isu mengenai kemampuan Solskjaer untuk membawa pasukan itu mencabar kejuaraan musim ini.
Neville yang muncul dalam sebuah rancangan televisyen kelmarin menganggap aksi yang dipamerkan oleh United sangat menjengkelkan dan teruk serta layak untuk menanggung kekalahan tersebut.
“Aksi mereka sangat teruk sepanjang perlawanan itu. Pada separuh masa kedua, situasinya sangat berbeza, Leicester dilihat berpeluang menjaringkan gol setiap kali melakukan serangan.
“United seperti hilang arah, memberikan ruang kepada pemain lawan dan bagi saya itu adalah aksi yang sangat mengerikan. Mereka fikir mereka pemain yang baik tetapi sebenarnya mereka silap.
“Sepanjang perlawanan, mereka melakukan kesilapan individu, keseluruhan skuad tidak berhubung dengan baik sehingga menghasilkan satu aksi yang sangat teruk.
Mereka tidak tahu cara untuk memberikan respons selepas lawan menjaringkan gol.
“United memiliki pemain yang bijak tetapi mereka tidak mempunyai gaya dan identiti permainan. Mereka perlu segera memperbaikinya kerana sudah banyak kali tewas dengan cara permainan tersebut,” katanya.
Neville turut mempertikaikan kesungguhan semua pemain United di padang yang dilihat sangat hambar jika dibandingkan dengan Manchester City dan Liverpool. – AGENSI