KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengambil tindakan menutup sebahagian kawasan Pantai Mek Mas di sini yang merupakan lokasi berlakunya fenomena ‘laut terbelah’ baru-baru ini.
Penutupan sebahagian kawasan pantai bermula Isnin lalu itu dilakukan atas faktor keselamatan kepada orang ramai yang dilihat ramai berkunjung ke pantai itu apabila fenomena tersebut tular di media sosial.
Fenomena itu berlaku sejak lebih sebulan lalu disebabkan air surut yang kemudian membentuk beting pasir hingga membolehkan orang ramai berjalan ke tengah laut.
Penghulu Mukim Kampung Che Latif, Zinuddin Daud berkata, pihak MPKB-BRI telah memasang pita kawasan larangan di lokasi berlakunya fenomena itu bagi mengelakkan orang ramai terus berkunjung ke situ.
Menurutnya, sebagai penduduk kampung, dia berharap pengunjung akur dengan arahan itu dan tidak berkunjung ke Pantai Mek Mas dalam masa terdekat.
“Kita telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa bencana di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu di sini mengenai perkara itu. Atas faktor keselamatan, penduduk mencadangkan agar orang ramai tidak masuk ke lokasi pantai terbelah itu.
“Kita juga bimbang apabila mereka ke kawasan itu dan berlaku kejadian yang tidak diingin. Ketika ini juga sudah masuk peringkat awal musim tengkujuh dan kita ambil langkah segera demi keselamatan umum,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Mek Mas di sini hari ini. -K! ONLINE