KOTA BHARU – Seramai 1,245 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersedia untuk menerima dos penggalak vaksin Covid-19 yang akan diterima tidak lama lagi.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, pihaknya akan mengikut saranan kerajaan dan tidak akan menangguhkan usaha itu untuk melindungi petugas barisan hadapan yang sentiasa berisiko ketika menjalankan tugasan di lapangan.
Menurutnya, seramai 565 anggota dan pegawai bahagian operasi JBPM Kelantan akan mendahului senarai penerima dos vaksin penggalak Covid-19.
“Anggota dan pegawai di bahagian lain akan menerima suntikan itu secara berperingkat selepas ini.
“Usaha ini sebagai persediaan pihak JBPM untuk menjalankan kerja-kerja dan operasi semasa musim tengkujuh. Kita mengambil berat mengenai risiko jangkitan semasa menjalankan misi menyelamat kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kesiapsiagaan JBPM Kelantan Menghadapi Monsun Timur Laut di Sri Cerana, Pengkalan Datu di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, sejak bulan Mac tahun lalu, JBPM Kelantan telah menguruskan sebanyak 1,461 jenazah yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini.
Menurutnya, daerah mencatatkan bilangan tertinggi dengan jumlah 444 orang diikuti Pasir Mas (207 orang) dan Tumpat (204 orang) dalam tempoh itu.
Tambahnya, dalam tempoh itu, bulan September lalu mencatatkan bilangan pengurusan jenazah tertinggi daripada JBPM iaitu 483 orang jenazah. – K! ONLINE