fbpx

Ayuh fokus Projek 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

KEJAYAAN skuad badminton lelaki Indonesia menamatkan kemarau 19 tahun untuk menjulang Piala Thomas pada awal pagi Ahad lalu di Aarhus, Denmark sememangnya dicemburui oleh peminat sukan tanah air.

Kejutan yang dipamerkan oleh negara jiran nusantara itu sememangnya luar biasa apabila membenam China 3-0, terutama selepas mempamerkan aksi hambar pada kempen Piala Sudirman di Finland.

Sudah tentu kecemerlangan yang dipamerkan oleh Sang Garuda diharap dapat membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam membantu menamatkan penantian Malaysia yang dahagakan kejayaan menjuarai Piala Thomas.

Siapa yang boleh lupakan detik bersejarah ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur dengan menewaskan seteru tradisi, Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.

Selepas itu, kita berjaya me­langkah ke pentas final pada edisi 1994, 1998, 2002 dan 2014, tetapi gagal mengulangi kejayaan edisi 1992.

Bagaimanapun, BAM sudah merancang lebih awal dengan mengumumkan ‘Projek 2024’ pada dua tahun lalu dengan meletakkan sasaran untuk melangkah ke final Piala Thomas yang bakal berlangsung di China.

Pada Projek 2024, badan induk badminton kebangsaan itu bukan sahaja menyasarkan status finalis Piala Thomas, malah turut realistik dengan peluang meraih kilauan pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Peluang itu nampak cerah berdasarkan perancangan rapi yang dilakukan oleh BAM apabila menghantar ‘ubi muda’ yang diketuai oleh perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia pada kempen Piala Thomas kali ini.

Meskipun ditunjukkan jalan keluar oleh skuad Indonesia pada pentas suku akhir dengan kekalahan 0-3, ia bukanlah peng­akhiran buat barisan pemain ini.

Di atas kertas, kita telah menyenaraikan pemain perseorangan muda seperti Zii Jia yang berusia 23 tahun, Ng Tze Yong (21 tahun), Cheam June Wei (24 tahun), Leong Jun How (22 tahun).

Bagi pasangan beregu lelaki, kita memiliki pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 di Tok­yo, Aaron Chia (24 tahun)-Soh Wooi Yik (23 tahun) serta Goh Sze Fei (24 tahun)-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (24 tahun).

Justeru, apabila tiba pada tahun 2024, kesemua pemain ini dijangka berada pada kemuncak karier dan diharapkan mampu mempamerkan prestasi sebenar.

Perkara itu dipersetujui oleh bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek yang membantu skuad negara menjuarai Piala Thomas edisi 1992.

Kata Rashid, sekiranya BAM terus melakukan persiapan terbaik untuk memantapkan pemain muda sedia ada, peluang untuk merampas semula Piala Thomas boleh direalisasikan.

“Apa yang saya lihat ia bukanlah satu misi yang mustahil selepas apa yang dipamerkan pemain-pemain muda.

“Ketika ini nampak peningkatan terutama pemain perseorangan lelaki negara.

“Untuk beregu lelaki mungkin masih belum sempurna sepenuhnya dan BAM perlu menyelesaikan masalah itu dan tidak bergantung harap kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik,” katanya.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann turut mengakui prestasi anak buahnya masih belum mencapai tahap sebenar dan situasi itu mungkin berbeza tempoh tiga tahun lagi.

“Meskipun tewas pada suku akhir, saya percaya pemain-pemain telah menunjukkan peningkatan dengan Zii Jia menunjukkan gaya kepimpinan pada usia yang muda.

“Kita akan melakukan post-mortem bagi mengumpul data serta melihat kelemahan selain menjalinkan kerjasama dengan Institut Sukan Malaysia (ISN) untuk meningkatkan lagi kualiti barisan pemain dan kejurulatihan,” katanya.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, dan apa yang dilakukan oleh BAM berada di landasan yang tepat. Kita hanya perlu bersabar untuk melihat hasilnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI