LAHAD DATU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu menangkap seekor buaya sepanjang lebih tiga meter selepas terperangkap di dalam saluran parit sebuah pusat peranginan Felda Residence, Wilayah Sahabat berhampiran pantai kelmarin.
Kehadiran buaya tembaga dengan berat mencecah 300 kilogram disedari pihak pengurusan pusat peranginan berkenaan yang kemudiannya menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu.
Jurucakap APM Sabah berkata, sebaik tiba di lokasi penemuan pada pukul 11.50 malam, operasi memerangkap haiwan berkenaan terus dilaksanakan.
“Anggota bertugas terpaksa menggunakan jerat perangkap tali bagi mengeluarkan buaya terbabit dari dalam parit saluran air pusat peranginan berkenaan.
“Kita berjaya menangkap haiwan berkenaan sekitar pukul 2.11 pagi sebelum menghubungi pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk proses penyerahan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, panjang buaya berkenaan adalah 3.2 meter dengan ukur lilit badan melebih satu meter dan buaya berkenaan selamat diserahkan kepada JHL untuk tindakan selanjutnya pada pukul 2.30 petang.