fbpx

3,090 karton rokok bernilai RM474,084 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PGA Lahad Datu merampas sebanyak 3,090 karton rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM474,084 dalam serbuan di sebuah bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh kelmarin. -Foto: IHSAN PGA-

LAHAD DATU – Sebanyak 3,090 karton rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM474,084 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) daerah ini dalam serbuan di sebuah bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh kelmarin.

Tindakan penyeludup menyembunyikan semua rokok berkenaan di sebuah bengkel dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, Op Kontraban terbabit dilaksanakan pasukan task force Batalion 17 PGA Lahad Datu sekitar pukul 11.30 malam yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan serta pemantauan di lokasi.

“Bagaimanapun, tiada individu yang dilihat menghampiri atau mengawasi barangan seludup yang ditinggalkan di lokasi berkenaan.

“Pasukan operasi terus memecah masuk ke dalam bengkel sejurus pemerhatian dilakukan sebelum mendapati terdapat 141 plastik hitam mengandungi rokok.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi rokok jenama Premium Emas, Nice Bold dan Magnum Bintang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rani menyatakan semua rokok tanpa cukai yang dirampas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI