fbpx

10,000 penduduk terancam kesihatan akibat pembakaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Kamal menunjukkan kawasan pembuangan dan pembakaran dilakukan petani warga asing. - FOTO: ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Lebih 10,000 penduduk Kampung Johan Setia di sini, terdedah risiko keselamatan dan kesihatan akibat tindakan petani haram warga asing melakukan pembakaran terbuka yang dipercayai sejak lima tahun lalu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk terpaksa menghidu asap sekali gus menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang juga ketua kampung itu, Mohamad Kamal Ismail berkata, pemerhatian pihaknya mendapati kegiatan berkenaan dilakukan di kalangan petani warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia itu.

Katanya, kebiasaannya mereka melakukan pembakaran terbuka pada sebelah malam.

“Segelintir daripada mereka dipercayai turut menceroboh tanah persendirian bagi melakukan aktiviti pertanian.

“Tahun ini, lima kebakaran dikesan berlaku antaranya melibatkan stor sisa pepejal, kebun petani dan tapak pelupusan sampah haram,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kosmo! pada 18 Oktober lalu melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengesan pembakaran terbuka dilakukan di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Johan Setia berdekatan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) di sini.

Kejadian itu dikesan pada pukul 2 petang, Sabtu lalu menerusi dron yang yang melakukan rondaan pencemaran di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia.

Bagi penduduk, Othman Baharuddin, 64, kejadian seumpama itu menimbulkan keresahan kemungkinan api merebak dan menjejaskan kesihatan.

“Kejadian Sabtu lalu berlaku hanya 60 meter dari rumah saya dan terpaksa menghidu asap tebal,” kata datuk kepada 19 cucu itu.

Seorang lagi penduduk, Rahman Tahir, 65, mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan kegiatan berkenaan.

“Pemantauan perlu dilakukan secara kerap termasuk meneliti status pemilik tanah yang berlaku kebakaran itu. Justeru, kita meminta tindakan tegas kepada petani haram dan pemiliknya bagi mengelak kejadian lebih buruk pada masa depan,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, stesen bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia mencatatkan paras tidak sihat sehingga mencapai paras tertinggi 156. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI