fbpx

Tip, manhaj sihat Rasulullah SAW doktor umat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini disambut hari ini.

Salam Maulidur Rasul. Hari ini, 12 Rabiulawal, umat Islam meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Namun, mungkin ramai tak sedar bahawa 12 Rabiulawal juga ialah tarikh kewafatan junjungan besar itu yang amat mencintai umatnya.

Rasulullah SAW telah meninggalkan dunia ini sejak ribuan tahun lalu, namun legasi diwariskan manusia paling berpengaruh di dunia itu yang mencakupi banyak aspek kehidupan terus menjadi pedoman termasuk kesihatan.

Rasulullah ialah contoh terbaik dalam aspek kesihatan. Maka, tidak hairanlah terdapat buku bertajuk Rasulullah Is My Doctor karangan bekas pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), Jerry D. Gray. Rasulullah amat mementingkan kesihatan sehingga dikatakan sepanjang hayat baginda hanya pernah sakit dua kali.

Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu, nasihat yang pernah disabdakan Rasulullah menjadi tular di Chicago, AS. Sebuah badan dinamakan Gain Peace telah menaikkan satu papan tanda yang menyeru penduduk tempatan mengamalkan ‘petua’ lama Rasulullah dalam mengekang pandemik.

“Junjungan Nabi Muhammad SAW menasihatkan: Basuh tangan selalu, jangan tinggalkan tempat terdapat jangkitan dan jangan melawat tempat terdapat jangkitan.”

Pandemik Covid-19 yang dikatakan tercetus akibat pemakanan haiwan eksotik itu juga merupakan penyakit pembunuh terutamanya kepada mereka yang berisiko. Penyakit-penyakit ini banyak dikaitkan dengan faktor pemakanan sedangkan Rasulullah sudah memberi amaran kepada umatnya.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya.”

Rasulullah tidak pernah makan secara berlebihan, sesuai dengan firman Allah di dalam al-Quran menerusi surah Al-A’raf ayat 31: “Makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka mereka yang berlebih-lebihan.”

Sabdanya lagi: “Kami adalah kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu kenyang, cukuplah sekadar untuk menegakkan tulang dan jika perlu makan, kami membahagikan perut kepada satu per tiga makanan, satu per tiga minuman dan satu per tiga udara (gas atau pernafasan).”

Rasulullah juga gemar berjalan sebagai manhaj atau cara penjagaan kesihatannya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ibnu Abbas disebutkan bahawa Rasulullah menjaga kesihatan tubuh badan salah satunya dengan al-masy iaitu berjalan kaki.

Bagi kesihatan mental pula, Rasulullah menerusi hadis-hadisnya selalu menegaskan supaya mengelak marah, sentiasa bertawakal kepada Allah, syukur, reda dan memaafkan. Kesemuanya mampu menjadikan manusia terhindar daripada tekanan dan kemurungan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI