PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengesahkan telah ‘bercerai talak tiga’ dengan Malaysia dan memilih Australia sebagai negara untuk bermastautin.
Individu yang menjadi buruan pasukan keselamatan Malaysia turut memaklumkan tidak akan kembali lagi ke negara ini, sebaliknya lebih bahagia hidup di negara baharunya.
Menerusi perkongsian video ‘live’ di Instagram miliknya semalam, Sajat secara rasmi memaklumkan kepada pengikutnya bahawa dia telah berhijrah ke Australia dan sedang menjalani kuarantin di Canterbury.
Berdasarkan ‘live’ Instagram miliknya, usahawan kosmetik itu juga mengesahkan sudah merangka beberapa perancangan buat dirinya yang mana salah satunya adalah membuka kembali perniagaan di negara berkenaan.
“Saya berasa sangat bahagia kerana sudah bebas dan boleh menjadi diri sendiri,” kata Sajat menjawab salah satu soalan pengikutnya.
Berdasarkan tinjauan di ruangan komen, ada individu yang mahukan Sajat mengulas lebih lanjut mengenai kes ‘menyeludup’ masuk ke negara berkenaan bagi mengelakkan dirinya ditangkap oleh pihak berkuasa.
“Apa yang terjadi tidaklah seperti yang disangka dan semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Saya juga menghormati kerja pihak Polis Diraja Malaysia yang menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Selain itu, Sajat turut memaklumkan bahawa segala perniagaannya di Malaysia sudahpun dijual dan dia mahu memulakan perniagaan baharu di Australia selepas selesai menjalani kuarantin.
Di akhir ‘live’ tersebut, Sajat sekali lagi mengesahkan dirinya sudah berpisah dengan Malaysia dan tidak akan boleh kembali ke negara ini.
Dia bagaimanapun tidak berasa ralat mengenai hal berkenaan, sebaliknya cukup teruja untuk memulakan kehidupan yang baru di Australia.
“Saya mahu buka perniagaan dan membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari rezeki di Australia dengan cara bekerja di bawah perniagaan saya nanti,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan mengenai penahanan Sajat oleh pihak berkuasa imigresen Thailand di sebuah kondominium pada 8 September lalu.
Penahanan itu dibuat selepas beberapa bulan pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan waran tangkap ke atas individu berkenaan kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.
Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii terhadap Sajat pada 23 Februari lalu.-K! ONLINE