fbpx

Malang terus menimpa Hazard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZARD (kiri) mengalami kecederaan buat kali ke-14 sepanjang menyertai Real dan terlepas aksi menentang Donetsk. – AFP

MADRID – Pemain sayap Real Madrid, Eden Hazard sekali lagi terpaksa diketepikan kerana kecederaan otot dan terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk di Stadium Olympiyskiy awal pagi esok.

Ketua jurulatih Real, Carlo Ancelotti tentunya pening memikirkan situasi Ha­zard, 30, yang mengalami kece­deraan ketika mewakili Belgium menentang Perancis dalam sai­ngan Liga Negara-Negara Eropah dua minggu lalu.

Sejak itu, bekas bintang Chelsea berkenaan langsung tidak mengambil bahagian dalam sebarang sesi latihan bersama skuad utama Real untuk menghadapi pertemuan dengan jaguh Ukraine tersebut.

Ini adalah kecederaan ke-14 dialami Hazard bersama Los Blancos termasuk dia pernah disahkan positif Covid-19 tahun lepas, sejak berhijrah daripada Chelsea dengan harga tinggi bernilai €146.1 juta (RM704.63) pada Jun 2019.

Kehadirannya gagal memberikan impak positif, sebaliknya lebih banyak dibelenggu masalah kecederaan dengan keseluruhan hanya bermain 37 aksi La Liga sepanjang tiga musimnya bersama Real termasuk tujuh perlawanan liga musim ini.

Bagaimanapun, Real mendapat perkhabaran gembira apabila pemain baru musim ini, David Alaba yang menyertai pasukan itu secara percuma daripada Bayern Munich dijangka boleh diturunkan menentang Shakhtar.

Namun, Alaba mungkin ­hanya dimasukkan sebagai pemain gantian kerana Ancelotti enggan mengambil risiko terhadap kecederaan lutut yang dialaminya memandangkan selepas ini mereka bakal bertemu Barcelona dalam aksi El Clasico minggu depan.

Sebagai rekod, Real menghuni tangga kedua Kumpulan D Liga Juara-Juara, tiga mata di belakang pendahulu iaitu wakil Moldova, Sheriff Tiraspol yang mencipta kejutan dengan dua kemenangan setakat ini.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI