IPOH – Tujuh lagi kluster masih aktif di Perak sepanjang minggu lalu dengan merekodkan 28 kes baharu sehingga tengah hari semalam daripada kesemuanya sebanyak 693 kes kumulatif.
Ini termasuk jangkitan daripada dua kluster baharu iaitu Bidor Stesen sebanyak satu kes dengan jumlah keseluruhan 33 kes kumulatif dan Gunung Besout Dua (tiga kes baharu, 49 kes kumulatif).
Kedua-dua kluster ini dikesan dalam daerah Batang Padang yang merupakan jangkitan tempatan.
Jabatan Kesihatan negeri Perak pada paparan dalam laman Facebook menunjukkan, lima lagi kluster yang merekodkan pertambahan kes adalah masing-masing satu bagi Bukit Sapi dan Kampung Sungai Bil, Jalan PC 10 (sembilan), Kampung Masjid Tanjung (lapan) dan Batu 8 Tanjung (enam).
Menurut paparan itu, lapan lagi kluster aktif tetapi tidak merekodkan kes baharu pula ialah Jalan Raja Chulan Sayong, Jalan Harvey, Ulu Rengat, Sungai Pelus, Tapak Bina Jalan Changkat Iskandar, Jalan Klekang 1/1, Industri Jalan Bercham dan Jalan Jelapang 3.
“Daripada senarai ini, kluster aktif dengan kes kumulatif paling tinggi adalah Industri Jalan Bercham iaitu 433 kes, Batu 8 Tanjung (364) dan Kampung Masjid Tanjung (130),” ujar kenyataan tersebut.
Bagaimana pun, angka kumulatif bagi kluster Industri Jalan Bercham bertambah kerana data pada 28 September merekodkan 365 kes dengan satu jangkitan baharu manakala Batu 8 Tanjung pula 161 kes.
Daerah Kinta masih mendahului dengan kes jangkitan Covid-19 paling banyak di Perak iaitu 168 kes yang kesemuanya adalah kes tempatan melibatkan kontak rapat, bergejala tempat kerja, tahanan dan kendiri.
Seterusnya daerah Manjung dengan 44 kes diikuti Kerian (28) dan Larut Matang Selama (22). – K! ONLINE