fbpx

Kerajaan meneladani inisiatif, strategi Rasulullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan telah dan akan meneladani inisiatif dan strategi dilaksanakan Nabi Muhammad sebagai panduan dalam pentadbiran negara demi kemakmuran Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal serta dirancang oleh kerajaan demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara., ‘No one will be left behind’.

Beliau berkata, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, membawa kita kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil, dan
Insani.

“Kesemua nilai ini, selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

“Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul,” katanya sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan hari ini.

Ismail Sabri berkata, ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada
masyarakat merentasi agama dan bangsa.

Katanya, pengiktirafan itu secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling hormat-menghormati selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia, semua pihak perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

“Apa jua perbezaan, kita jadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan, kita jadikan sebagai sumber kekuatan. Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kemuliaan umat Islam, bahkan jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara adalah terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

“Rasulullah, misalnya telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.

“Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI