KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan kadar jangkitan Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 66.8 peratus bagi setiap kes dalam 10,000 orang dalam tempoh dua minggu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kadar jangkitan yang dicatatkan sehingga semalam itu antara yang tertinggi berbanding keseluruhan kes di negara ini yang mencatatkan sebanyak 33.8 peratus.
Menurutnya, ia sekali gus menunjukkan jangkitan Covid-19 di negeri ini masih lagi berisiko yang mungkin disebabkan oleh varian Delta yang berada dalam komuniti.
“Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, JKNK mengharapkan kerjasama daripada semua rakyat sama ada yang tinggal di Kelantan atau perantau supaya sentiasa menjaga diri masing-masing.
“Mereka perlu terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama ketika berada di tempat awam dan sesak. Perkara ini dapat mengelakkan penularan wabak Covid-19 sekali gus membantu menurunkan kes dan kadar jangkitan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zaini berkata, kadar penggunaan katil hospital bagi pesakit Covid-19 di negeri ini dianggarkan sebanyak 77.1 peratus.
“Penggunaan unit rawatan rapi (ICU) pula mencatatkan sebanyak 66.7 peratus dan 57.7 peratus pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Selain itu, penggunaan katil di 15 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah negeri ini pula sebanyak 67.2 peratus,” katanya. – K! ONLINE