TANPA sedar, sudah enam tahun kumpulan muda yang semakin meningkat naik Insomniacks itu melayarkan karier muzik dalam industri seni tanah air.
Sepanjang tempoh berkenaan, kumpulan itu sudah menghasilkan dua buah single dan sebuah album EP yang memuatkan lima lagu.
Mereka yang awalnya mencorak perjalanan karier seni bawah agensi Sony Music selama empat tahun, kini mengorak langkah lebih jauh apabila mula mengikat kontrak bersama Universal Music sejak Mac lalu.
Semestinya, kerjasama yang terjalin memutikkan rasa teruja, selain berasakan peluang depan mata sebagai satu bentuk penghargaan besar.
Menurut Wan Arif Iskandar Adnan atau Iskandar yang memegang posisi pemain bass, tawaran daripada Universal Music adalah satu peluang yang sangat bermakna.
“Umum mengetahui bahawa syarikat ini mempunyai kredibiliti yang baik, berpengalaman luas serta memiliki ramai artis berbakat dan dikenali.
“Dalam masa sama, tawaran yang datang turut disertakan dengan pelbagai perancangan menarik untuk masa depan band kami.
“Jadi kami melihat peluang ini sangat bagus untuk jenama dan kerjaya muzik pada masa akan datang.
“Paling penting, ini adalah sesuatu yang kami mahukan selama ini terutama dari segi penghasilan lagu.
“Pendek kata, kami yakin mengatur langkah bawah syarikat ini,” katanya.
Tambah Iskandar, kontrak yang termeterai antara bandnya bersama Universal Music akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sebagai permulaan langkah baharu, Insomniacks merancang untuk meluncurkan tiga buah lagu sebelum penghujung tahun ini.
“Kami meterai kontrak bersama Universal Music selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, jadi banyak perancangan tergendala.
“Sekarang industri seni sudah kembali bernafas, insya-Allah kami merancang untuk keluarkan tiga buah single.
“Projek berkenaan merangkumi dua buah lagu versi rakaman semula lagu Pulang dan Reminisensi, diikuti dengan sebuah lagu baharu.
“Jalur muzik lagu baharu ini tidak jauh berbeza dengan kebanyakan single terdahulu kami.
“Cuma ada sedikit kelainan dari segi bunyi sebab kami mahu lagu ini kedengaran lebih matang.
“Genre tetap sama iaitu rock sebab kami masih belum puas meneroka muzik ini,” katanya panjang lebar.
Serasi, rekod Pulang
Kesemua anggota Insomniacks merupakan ‘pucuk muda’, bahkan empat sekawan yang bersahabat baik itu masing-masing berusia 24 tahun.
Maka tidak hairanlah jika aliran muzik dan keserasian kumpulan yang dianggotai Iskandar dan tiga lagi rakannya iaitu Syed Mir Iqbal Syed Adeli atau Iqie (vokalis dan gitar utama), Ahmad
Danial Ahmad Roslan atau Danial (gitar ritma) dan Gavin Wong atau Gavin (dram) dalam berkarya cukup ‘hidup’.
“Kami selesa mencipta, tulis lagu sendiri dan dapat berkarya bersama. Tapi pada masa sama, kami tidak menolak andai ada mana-mana komposer yang mahu menjalin kolaborasi. Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir.
“Selepas bersama Universal Music, kami bebas berkarya tetapi pada masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu-lagu yang lebih komersial. Tak salah mencuba. Mana yang terbaik, kami terima,” tambah Iskandar.
Semenjak menembus industri muzik pada 2017, Insomniacks tidak menunggu lama untuk menempa populariti selepas lagu kedua mereka berjudul Pulang yang dilancarkan setahun kemudian menerima sambutan luar biasa daripada peminat.
Paling manis dan membanggakan apabila lagu berkenaan berada di kedudukan juara dalam Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia atau RIM selama 146 minggu.
“Sejujurnya, lagu Pulang adalah karya yang cukup kami banggakan. Sewaktu menulis lagu ini, kami dapat rasakan keistimewaannya. Apabila diterima baik, memang sangat gembira. Sampai sekarang, orang masih mendengar lagu ini,” kata Iskandar.
Sasaran, siri jelajah
Mendepani masa depan, sasaran dan impian sebagai sebuah kumpulan, Iskandar berkata, Insomniacks mahu membawa dan memperkenalkan jenama muzik yang digalas menerusi siri jelajah di seluruh negara.
Sebelum suasana dunia bertukar seperti sekarang, mereka sempat mengadakan siri jelajah tetapi hanya di beberapa buah negeri.
Andai pandemik berakhir dan keadaan mengizinkan, mereka mahu meneruskan impian tergendala dengan meneroka seluruh pelosok negara.
“Sejak dahulu lagi sasaran kami untuk menjelajah seluruh Malaysia. Jika keadaan negara sudah membenarkan semua aktiviti dilakukan nanti, kami akan teruskan perancangan tersebut.
“Sambutan dan penerimaan peminat terhadap kami juga semakin bagus. Setiap Jumaat, kami buat sesi siaran langsung dalam YouTube. Malah kami turut mewujudkan kumpulan sembang dalam Telegram, Maniacks. Dari situ, peminat semakin dapat mengenali kami,” tutupnya.