GEORGE TOWN – Video seorang kaki pancing menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh dari tiang 67, Jambatan Pulau Pinang di sini selepas dipercayai dicampak individu tidak dikenali petang tadi mula tular di media sosial.
Video berdurasi 18 saat itu telah dirakam seorang pemandu bot pancing, Sobri Karim, 36.
Sobri berkata, dia menerima panggilan membawa anak kucing ke jeti nelayan Batu Uban dari lokasi tiang di bawah jambatan itu daripada seorang kaki pancing kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
“Saya dimaklumkan nelayan tersebut yang anak kucing berbulu hitam itu dijumpai semasa dia sedang memancing ikan di tiang 67 pada pukul 2 petang.
“Anak kucing itu ditemui sedang berenang menghampiri tembok tiang itu selepas dicampak kira-kira 20 meter dari atas jambatan. Kaki pancing tersebut kemudiannya terus membawa naik haiwan tersebut dengan menggunakan penyauk ikan.
“Saya terus bergegas ke lokasi penemuan anak kucing itu sejurus menerima panggilan membantu membawa anak kucing pulang ke jeti,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sobri menambah, dia tidak menyangka ada individu sanggup bertindak kejam terhadap haiwan perliharaan tersebut tanpa perikemanusiaan. – K! ONLINE