Oleh AMRAN MULUP
MELAKA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasibnya serta tiga lagi rakan kepada pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Menurutnya, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya untuk meminta bertanding dalam PRN nanti tanpa mendapat ihsan daripada PH.
“Kami berempat adalah pendatang dan kalau boleh kami tidak mahu dilihat seperti melukut di tepi gantang.
“Biarlah PH menentukan nasib kami sebab dalam konteks 15 orang (DAP, Amanah dan PKR) kita telah membentuk satu gabungan kerana kami mempunyai majoriti.
“Saya tetap menaruh harapan kepada PH. Saya tidak merasa janggal kerana berada dalam sebuah keluarga besar PH.
“Sejak bersama PH saya tidak merasa dicemuh dan tiada tuduhan pengkhianat di sebelah sini,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Mudzaffar, dekat sini sebentar tadi.
Yang turut hadir ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan.
Ditanya mengenai kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRN nanti Idris berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan dan memerlukan tempoh masa.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan empat bekas ADUN berkenaan dalam menghadapi PRN pada 20 November ini. -K! ONLINE