fbpx

Dahulu ‘kejung’, sekarang sangat suka – Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMYRA ROSLI

PETALING JAYA – Selepas lebih dua bulan menjadi pengacara rancangan Nona, pelakon Amyra Rosli mengakui semakin jatuh cinta dengan kerjaya tersebut dan berasa seronok melakukan tugas pengacaraan.

Ujar Amyra atau nama lengkapnya Nur Amira Izzati Rosli, 30, selepas menjalani latihan dari hari ke hari untuk memantapkan lagi kemahiran pengacaraan, dia semakin jatuh cinta dengan bidang tersebut selain menjadi bertambah yakin.

“Mula-mula memang tak yakin. Tapi dari hari ke hari saya lakukan latihan, lama-lama akan jadi biasa dan saya rasa seronok nak buat.

“Sekarang saya suka sangat jadi pengacara. Sangat suka!” jelas Amyra menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.

Ujar isteri kepada pelakon Amar Baharin itu lagi, ketika awal-awal menggalas tugas sebagai pengacara Nona yang dilakukan di dalam studio, dia terpaksa bekerja keras untuk menyesuaikan diri dalam bidang pengacaraan.

Bagaimanapun lama kelamaan, pelakon drama Nur itu dapat membiasakan diri dan faham apa yang perlu dia lakukan selepas beberapa episode ke udara selain penggambaran dibuat di luar studio.

“Mungkin masa baru mula-mula mengacara dalam studio, saya ‘kejung’ sikit.

“Saya tidak kisah apa orang nak cakap. Sebab nak berjaya kita kena hadap apa sahaja yang ada di depan. Janji kita rajin belajar dan tingkatkan diri sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, Amyra berkata dia perlu sentiasa meningkatkan kemahirannya dalam dunia pengacaraan seiring dengan sokongan yang diberikan oleh peminat terhadapnya.

Manakala untuk mereka yang mengecam dirinya, dia Cuma menganggap perkara tersebut sebagai satu cabaran untuk dirinya sedar dan keluar daripada zon selesa.

“Kehidupan ini sekejap di atas dan sekejap di bawah. Yang penting kita tahu apa yang kita buat dan jangan sesekali berputus asa,” katanya.

Menerusi hantaran itu juga, ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada beberapa rakan pengacara seperti Fiza Frizzy, Ameera Zaini dan Fiza Sabjahan kerana akan berkongsi ilmu pengacaraan dengannya pada setiap minggu.

Untuk rekod, sebelum ini program tersebut telah dikendalikan pelakon, Mira Filzah selama tiga tahun sejak 2018.

Selain Mira dan Normala Samsudin, antara nama lain yang pernah menjadi pengacara bagi program Nona yang mula bersiaran sejak tahun 1991 ialah Datin Sri Norjuma Habib, Maya Karin, Vanidah Imran, Farah Fauzana, Neelofa dan Fouziah Ghous. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI