fbpx

Ceroboh perairan negara, curi 15 tan hasil laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian nelayan warga Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan Bintulu, Sarawak kelmarin.

PETALING JAYA – Tindakan 18 orang nelayan warga Vietnam menceroboh perairan negara serta ‘mencuri’ hasil laut akhirnya membawa padah apabila bot yang dinaiki mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu, kelmarin.

Vesel atau bot yang dinaiki kumpulan nelayan berkenaan ditahan kira-kira pukul 10 pagi pada kedudukan 132 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu, Sarawak.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, Kapal Maritim (KM) Tabah telah mengesan sebuah vesel mencurigakan sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Katanya, berdasarkan bentuk serta struktur fizikal ia disyaki bot nelayan asing Vietnam.

“Setelah dirapati oleh KM Tabah, kru vesel tersebut enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif dengan meletakkan pelbagai halangan di atas lantai vesel bagi menghalang kapal ditahan untuk diperiksa.

“Tekong bertindak mengemudi vesel secara agresif dengan cuba lolos ke perairan antarabangsa, namun terus dikejar oleh KM Tabah dan pihak APMM mengambil masa hampir dua jam untuk memintas dan menahan vesel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Jelasnya, 18 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 46 tahun telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Tekong dan kesemua kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut, manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 2,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 15 tan metrik ikan campur turut dirampas.

“Keseluruhan rampasan termasuk vesel dianggarkan bernilai RM1 juta dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” ujar Effendy. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI