AKTRES Mahima Chaudhry dengan lantang tampil mengkritik ‘permainan’ dalam industri perfileman Bollywood apabila bersikap tidak adil terhadap pelakon wanita berbanding lelaki.
Ujar pelakon berusia 48 tahun itu, banyak perkara yang dirasakan tidak adil telah dilalui oleh pelakon wanita seperti layanan, bayaran dan sokongan oleh pemain industri yang lain.
“Untuk menjadi seorang pelakon, seseorang aktres itu perlu berpura-pura menjadi ‘bodoh’.
“Mereka tidak boleh bercinta atau keluar dengan mana-mana lelaki kerana perbuatan itu akan menjejaskan karier mereka,” ujarnya.
Kata pelakon yang pernah membintangi filem Dil Hai Tumhaara itu lagi, karyawan industri hanya mahukan seseorang pelakon wanita itu ‘masih dara’ dan tidak pernah bercium sepanjang hidupnya.
“Jika mereka (pelakon wanita) ditangkap sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang atau berkahwin, karier mereka akan berakhir.
“Jika telah memiliki anak, anggap sahaja karier lakonan mereka telah pun tamat,” jelasnya.