fbpx

Tukang rumah, pencanting batik didakwa bunuh rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasri (kanan) dan Mohd. Faizal (baju merah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini untuk menghadapi pertuduhan membunuh rakan mereka dua minggu lalu. FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Dua lelaki termasuk seorang warga Kemboja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka di hadapan sebuah rumah di Kampung Penambang di sini dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tukang rumah warga Kemboja, Nasri Roza,29, dan pencanting batik, Mohd. Faizal Akma Md. Noor, 36, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat telah melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian warga Kemboja, Sovann Arozak, 40.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di hadapan sebuah rumah di Jalan Mustapha, Kampung Penambang di sini kira-kira pukul 9.30 malam hingga 10 malam pada 3 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sharifah Amirda Shasha tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan 24 Januari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, Nasri turut didakwa dan mengaku bersalah atas pertuduhan berada di negara ini tanpa sebarang pas yang sah dua minggu lalu.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di hadapan sebuah kedai runcit di Bukit Marak di sini kira-kira pukul 11.20 pagi pada 5 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 November depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, gara-gara tidak berpuas hati selepas berlaku perselisihan faham mengenai upah membaiki tandas, seorang warta Kemboja maut dipukul rakan sendiri di hadapan sebuah rumah.

Sovann yang bekerja sebagai buruh binaan mengalami kecederaan pada bahagian sebelah kiri kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Mangsa yang masih bujang dan datang ke negara ini dua tahun lalu untuk bekerja dipercayai menyewa seorang diri di Tanjung Mas di sini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI