JOHOR BAHRU – Kira-kira 1,000 pembeli rumah di Taman Seri Molek Perdana, Plentong, dekat sini melahirkan kekecewaan mereka apabila rumah yang dibeli sejak tahun 2010 masih gagal disiapkan oleh pihak pemaju.
Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan pembeli yang terpaksa tinggal sementara di kawasan setinggan sementara menunggu rumah yang dibeli disiapkan pemaju.
Menurut seorang pembeli, Haslieyana Masrun, 38, pihak pemaju sepatutnya mengadakan pertemuan dengan pembeli dan ceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
Katanya, dia sudah tidak tahan untuk tinggal bersama lima anak-anaknya di kawasan setinggan di Kampung Melayu Pandan dekat sini.
“Mengikut perjanjian yang perjanjian jual beli (S&P) yang dimeterai pada 2010, projek perumahan melibatkan enam blok itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2013. Namun, setelah lapan tahun berlalu, hanya Blok F sahaja yang sudah siap.
“Projek perumahan yang sudah dua kali bertukar tangan kepada dua subkontraktor itu menambahkan lagi keraguan kami yang perlukan penjelasan mengenai status rumah tersebut yang belum siap sepenuhnya.
“Saya sudah tidak larat lagi nak tinggal di rumah setinggan yang dalam keadaan daif itu sementara menunggu rumah ini siap. Bukan tak mahu pindah, namun ia akan menyebabkan perbelanjaan turut meningkat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Rozita Mohd. Salleh, 50, berkata, alasan terbaru diberikan pemaju adalah faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpunca daripada pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan projek tertangguh.
“Sebelum ini, mereka berjanji untuk menyiapkan pada hujung tahun ini, namun tarikh itu dianjakkan pada Jun tahun depan pula. Sudah banyak kali tertangguh dan janji yang ditabur itu tidak pernah ditepati.
“Saya terpaksa membayar dua rumah ketika ini. Masalah kelewatan ini sudah banyak kali diajukan kepada pemaju tetapi tiada tindakan yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab membina projek itu,” jelasnya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut turun padang untuk mendengar permasalahan yang dialami pembeli dan melihat sendiri kawasan
perumahan yang terbengkalai itu.
Menurut Hassan, dia akan bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi menyelesaikan masalah itu memandangkan rumah berkenaan telah siap 96 peratus siap.
Usaha Kosmo! untuk mendapatkan maklum balas pemaju bagaimanapun tidak berhasil apabila pihak berkenaan gagal dihubungi.