fbpx

TNB, LADA jalin kerjasama pasang PV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (empat, kanan) bergambar bersama selepas menyaksikan penyerahan replika surat niat oleh LADA kepada TNB dalam Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

PETALING JAYA – Bagi mengurangkan emisi karbon, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) akan menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu LADA mencapai objektif mereka bagi mengurangkan emisi karbon dan menjana tenaga hijau.

“Bagi mencapai aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, TNB telah dan akan terus membangunkan keupayaan yang terbukti dalam bidang panel solar fotovoltaik.

“Langkah LADA dan anak syarikatnya Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) untuk menjana tenaga hijau bukan sahaja menyokong usaha Kerajaan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG), malah turut mampu menjimatkan bil elektrik,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

GSPARX dijangka memasang sistem solar PV berkapasiti 363kWp di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung. Bergantung kepada perjanjian, potensi penjimatan bil elektrik LPSB selepas pemasangan adalah antara RM87,000 hingga RM244,000 bagi tahun pertama dan sehingga RM5 juta hingga RM7.4 juta bagi tempoh 25 tahun.

Tambah Megat, TNB turut menyokong usaha kerajaan itu dengan meletakkan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih (Net Zero Carbon Emission) menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

“Hala tuju kelestarian TNB mendukung pelan kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) dalam gabungan kapasiti penjanaan negara ke arah mencapai sasaran kapasiti terpasang RE sebanyak 31 peratus pada 2025,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), TNB telah menyiapkan projek solar di dua lokasi manakala pemasangan di tujuh lagi lokasi melibatkan bangunan kerajaan sedang disiapkan menjadikan jumlah kapasiti penjanaan tenaga hijau hampir 2.2 MWp.

Antara entiti yang telah dan bakal menjadi pengeluar swaguna (prosumer) menerusi kerjasama itu termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (100kWp); Majlis Bandaraya Subang Jaya (100kWp); Agensi Nuklear Malaysia (460kWp), dan Kolej Tunku Kurshiah (314kWp).

Sehingga kini, di bawah skim panel solar PV, Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri yang dilaksanakan, GSPARX telah memeterai perjanjian menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dan pembelian terus dengan 840 pelanggan komersial dan domestik untuk menjana kira-kira 103 MWp kapasiti tenaga hijau. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI