fbpx

Seni tari, lukisan sebati dalam diri Nurakmal Syazana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GADIS manis ini akan mencari berus dan kanvas lukisan bagi mengurangkan tekanan ketika belajar.

DIKURNIA raut wajah menawan ternyata memberi satu kelebihan buat Nurakmal Syazana Mohamed Faidz sehingga mampu menjana pendapatan sampingan.

Gadis berusia 20 tahun itu memanfaatkan kelebihan tersebut dengan menjadi model kepada jurusolek profesional dalam usaha mempromosikan perkhidmatan mereka.

Ada ketikanya, Nurakmal Syazana terpaksa menolak tawaran menjadi model ekoran kekangan waktunya sebagai seorang mahasiswi Universiti Malaya (UM).

Wajah gadis berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu sering menjadi pilihan jurusolek memandangkan air mukanya persis gadis Melayu asli dengan tona kulit sawo matang.

“Saya mula aktif menjadi model sejak dua tahun lalu. Segalanya bermula apabila ada seorang jurusolek terkemuka meminta saya menjadi modelnya.

“Rentetan itu, saya banyak mendapat tawaran model daripada jurusolek lain. Saya lakukannya kerana minat, namun tidak sangka pula ia boleh menjana pendapatan,” katanya.

Pada masa sama, Nurakmal Syazana turut aktif dalam bidang kepemimpinan di kampus, terutamanya di Fakulti Sains serta Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah.

Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Tulen itu memaklumkan, dia merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti kampus dan kepemimpinan sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Terbaharu, Nurakmal Syazana telah menyertai Kem Kepimpinan Pemudah Cara Mahasiswa bagi pengambilan pelajar baharu.

DIPILIH menjadi model sampingan kerana mempunyai raut wajah menawan.

Menerusi kem berkenaan, dia dikehendaki hadir ke UM sebulan lebih awal bagi mempersiapkan diri sebelum kemasukan mahasiswa baharu.

“Saya sangat bertuah kerana terpilih menjadi salah seorang fasilitator untuk membimbing pelajar baharu. Lagi pula saya memang suka aktiviti kepemimpinan ini.

“Malangnya untuk pengambilan baharu kali ini, kami diarahkan untuk merencana aktiviti secara maya sahaja kerana bimbang dengan penularan pandemik Covid-19,” terangnya lagi.

Tidak cukup dengan itu, Nurakmal Syazana juga seorang yang aktif dalam bidang seni tarian sejak di bangku sekolah.

Jelasnya, dia sering menyertai pelbagai pertandingan peringkat sekolah menerusi seni tarian tradisional seperti asli, zapin, minang dan kreatif.

“Saya boleh menari kerana selalu menyertai pertandingan di peringkat sekolah. Tetapi di universiti, saya belum dapat berbuat demikian disebabkan pandemik,” tegasnya.

Meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti sama ada di dalam mahu pun luar kampus, namun Nurakmal Syazana tidak melupakan pelajaran.

SELAIN berbakat dalam seni tari dan lukisan, Nurakmal Syazana turut aktif dalam bidang kepimpinan di kampus.

Katanya, dia mempunyai jadual harian sendiri bagi memudahkannya merancang setiap aktiviti mengikut kepentingan supaya tidak mengganggu proses pembelajaran.

“Penglibatan saya dalam pelbagai aktiviti sama ada di dalam dan luar kampus tidak memberi sebarang kesan kepada keputusan peperiksaan setiap semester.

“Ini kerana, saya sentiasa mengutamakan pelajaran pada setiap masa. Jika betul-betul lapang, barulah saya buat aktiviti lain,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, tanpa berselindung, Nurakmal Syazana memaklumkan, dia turut melalui pelbagai tekanan sebagai seorang pelajar, terutamanya ketika peperiksaan penting pada akhir semester.

Bagi mengurangkan tekanan, dia memilih untuk melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran di atas kanvas menggunakan medium akrilik atau cat air.

“Melukis ini merupakan hobi saya sejak kecil. Ketika di universiti, saya menghabiskan masa melukis bagi mengurangkan tekanan belajar, terutamanya ketika minggu ulang kaji.

“Biasanya saya melukis bentuk abstrak dan alam sekitar seperti suasana pantai atau desa.

“Ada beberapa lukisan saya menambat hati orang luar untuk membelinya pada harga tertentu,” katanya.

Ketika ini, dia berusaha mengaktifkan diri menerusi media sosial.

Dia ingin menggunakan platform berkenaan bagi menyebarkan pelbagai mesej positif kepada golongan muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI