PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura.
Permohonan pasport itu berikutan Najib, 68, mahu menemani anak perempuannya Nooryana Najwa yang sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said berserta dua lagi panel iaitu Datuk P. Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib selaku pemohon untuk mendapatkan pasportnya dikembalikan sementara.
“Dalam hal ini pihak pendakwaan tiada bantahan atas permohonan tersebut. Mahkamah juga mendapati terdapat alasan munasabah dalam permohonan ini. Oleh tu permohonan pemohon (Najib) dibenarkan dan pasport akan dikembalikan pada 22 November ini,” kata hakim Kamaludin.
Dalam prosiding hari ini pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari tidak membantah dan mengesahkan permohonan tersebut. Najib diwakili Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura atas tujuan yang sama.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon untuk mendapatkan pasportnya dikembalikan sementara.-K!ONLINE